Assalamualaikum...

Selamat Datang

Monday 18 June 2012

Bagaimana pentingnya penilaian diagnostik Matematik dapat membantu pembelajaran murid-murid sekolah rendah?


Bagaimana pentingnya penilaian diagnostik Matematik dapat membantu pembelajaran murid-murid sekolah rendah?

Disediakan oleh Siti Farah Idayu binti Madi


Pendahuluan

Penilaian dignostik adalah satu alat pengukuran yang membolehkan guru pemulihan khas mengesan punca dan kawasan kelemahan secara terperinci yang dihadapi oleh seseorang murid (Mohd Shukri Saad, 2008). Kajian Halim, Subahan Meerah & Lilia Halim (2009) menjelaskan penilaian diagnostik bertujuan untuk mendignosis salah konsep murid dan menggunakan hasil ujian untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran. Stiggins (1994) menyatakan bahawa penilaian diagnostik adalah salah satu cara untuk meningkatkan kualiti pencapaian murid. Kesimpulannya, penilaian dignostik adalah satu alat pengukuran yang membolehkan guru mengenalpasti punca kesilapan murid dengan terperinci untuk meningkatkan pencapaian murid melalui penambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Justeru dalam pembelajaran Matematik, penilaian dignostik adalah penting untuk mengenalpasti kelemahan, halangan dan punca kesalahan murid dalam pembelajaran, membantu murid menjalani program pemulihan dengan berkesan dan sebagai motivasi intrinsik kepada murid untuk meneruskan pembelajaran (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011).

Mengenalpasti kelemahan, halangan dan punca kesalahan murid

Kepentingan utama penilaian diagnostik adalah membantu pembelajaran murid melalui kebijaksanaan guru mengenalpasti kelemahan, halangan dan punca kesalahan murid. Ini kerana, menurut Ronis (1999) penilaian melalui pemerhatian dan bertulis mampu membantu guru mengenalpasti tahap pencapaian murid. Berdasarkan pengalaman lalu, saya telah melaksanakan ujian diagnostik yang merangkumi beberapa topik dalam Matematik tahun 4 bagi mengenalpasti salah anggapan, kelemahan dalam sesuatu kemahiran dan punca murid lemah Matematik.

            Hasil daripada ujian tersebut, saya dapati murid saya mengalami masalah dalam melakukan pendaraban dengan betul. Walaupun sebelum ini saya beranggapan murid gagal dalam Matematik disebabkan oleh kurang faham tajuk tertentu namun, punca utama masalah ini berlaku disebabkan oleh murid tidak menguasai kemahiran asas dalam Matematik. Ini jelas membuktikan kajian Seah (2004) yang menyatakan ramai murid bermasalah dalam Matematik disebabkan oleh mereka mempunyai kefahaman yang terhad dalam konsep asas.

            Selain itu, keputusan ujian diagnostik membantu mengenalpasti kelemahan murid dalam menyelesaikan soalan Matematik. Saya bersetuju dengan Cockburn (1999), yang menyatakan kadang kala ramai murid mendapat markah rendah dalam ujian Matematik disebabkan oleh kecuaian semasa menjawab. Pengalaman selepas melaksanakan ujian saringan, saya dapati hampir separuh murid mendapat markah rendah. Namun begitu, setelah disemak dengan teliti saya mendapati ia berpunca daripada kecuaian semasa menjawab. Setelah melakukan analisis ujian diagnostik, saya mendapati hanya segelintir murid gagal menjawab dengan betul disebabkan oleh keliru dalam memahami soalan, salah anggap tentang nilai tempat, gagal memilih algoritma sesuai, lemah dalam memahami soalan bentuk berayat dan kecuaian semasa menulis jawapan.

            Walaupun penilaian dignostik membantu mengenalpasti kelemahan, halangan dan punca kesalahan murid, namun ia tidak membantu sekiranya guru gagal menentukan objektif ujian, kemahiran yang hendak diuji, bagaimana hendak menguji individu atau kumpulan dan kumpulan sasaran (Mohd Shukri Saad, 2008). Pengalaman semasa awal praktikum, saya telah cuba melaksanakan ujian dignostik untuk murid tahun 4 kelas sederhana namun tidak berjaya. Ini berpunca daripada kelemahan saya dalam menyediakan soalan ujian yang sesuai dengan objektif, tahap perkembangan kognitif, pengetahuan sedia ada dan persekitaran murid. Kesan ujian tersebut menunjukkan saya gagal mengenalpasti murid yang lemah kerana prestasi kumpulan rendah lebih baik daripada kumpulan tinggi. Hasil daripada itu, saya menguji soalan tersebut dengan mengira indeks kesukaran dan indeks diskriminasi, ternyata soalan tersebut adalah buruk, tidak diterima dan perlu dibuang.

             Kesimpulannya, ujian dignostik dapat membantu pembelajaran murid melalui kebijaksanaan guru mengenalpasti kelemahan, halangan dan punca kesalahan murid. Namun begitu, guru harus bijak dalam menentukan objektif ujian dan mahir menyediakan soalan yang sesuai dengan murid. Justeru, setiap guru haruslah merancang dengan teliti kerana mengenalpasti kelemahan murid memerlukan guru bertindak lebih banyak daripada bercakap. (Peterson, 2011).

Membantu murid menjalani program pemulihan berkesan

Penilaian diagnostik penting untuk membantu murid menjalani program pemulihan berkesan. Melalui ujian tersebut, guru akan memilih murid yang berjaya pada akhir pembelajaran dan membantu melaksanakan program pemulihan untuk murid yang lemah (Motkhtar Ismail, 2009). Hasil penilaian diagnostik membantu memulihkan murid melalui penggunaan model hubungkait sebagai rujukan sebelum membuat rancangan mengajar, memilih algoritma yang sesuai dengan murid dan menggunakan bahan bantu mengajar yang efektif.

            Menurut Tighe (1997), sekiranya guru ingin meningkatkan pencapaian murid, guru haruslah bijak merancang pengajaran menerusi penggunaan model hubungkait seperti dalam rajah 1. Penggunaan model ini membantu guru membuat hubungkait dengan jelas akan keperluan murid, pengetahuan sedia ada dan persekitaran murid. Hubungkait yang tepat dapat menghasilkan program pemulihan yang berkesan untuk murid. Berdasarkan pengalaman semasa melaksanakan aktiviti pemulihan, saya telah merancang pengajaran dengan menggunakan model tersebut. Hasilnya, saya dapat perhatikan murid dapat memahami konsep darab dengan lebih jelas menggunakan bahan konkrit yang ada di persekitarannya.


    




Selain itu, hasil penilaian diagnostik membantu mengenalpasti teknik penyelesaian yang digunakan oleh murid. Umumnya, hampir kesemua murid menggunakan penyelesaian standard untuk masalah darab. Saya membuat penelitian dengan memilih teknik penyelesaian lain untuk masalah darab seperti dalam Rajah 2. Ini kerana, merujuk Gardner (1983) untuk mengatasi masalah pembelajaran, guru haruslah memilih teknik yang sesuai dengan murid di samping peka dengan kecerdasan pelbagai yang mereka miliki.

Tambahan lagi, hasil penilaian diagnostik membantu membantu murid yang lemah melalui penggunaan alat bantu mengajar yang efektif (Meor Ibrahim Kamaruddin & Afidah Ngadalan 2010). Merujuk kepada pengalaman semasa melaksanakan aktiviti pemulihan, saya menggunakan bahan konkrit untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang asas pendaraban. Menggunakan sarang telur dan beberapa biji guli, saya menerangkan konsep penambahan berulang yang menjadi asas kepada pendaraban dan makna ganda. Kesannya, murid tersebut diperhatikan dapat memahami konsep asas pendaraban dan makna ganda dengan lebih mudah dan cepat. Morris (2009) menyatakan bahawa murid akan belajar dengan mudah dan cepat melalui aktiviti yang membolehkan mereka menggunakan sendiri bahan tersebut.

            Walaupun penilaian diagnostik membantu guru melaksanakan program pemulihan yang berkesan namun begitu, masalah akan timbul sekiranya guru gagal mengenalpasti potensi murid semasa membuat perancangan. Berdasarkan Bloom (1956), proses pengajaran tidak akan berkesan sekiranya guru gagal mengetahui tahap perkembangan minda murid. Ini pernah saya alami semasa praktikum di mana murid darjah 2 sukar memahami cara melakukan pembahagian menggunakan algoritma standard. Saya sedar bahawa saya seharusnya menggunakan bahan konkrit terlebih dahulu sebelum menggunakan algoritma standard.

            Kesimpulannya, penilaian diagnostik membantu guru melaksanakan program pemulihan berkesan. Akan tetapi, guru harus bijak membuat perancangan di samping peka dengan perkembangan murid. Untuk memantapkan aktiviti pemulihan, guru harus sentiasa peka dengan keperluan murid (Noriati A. Rashid, Boon & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2009).

Merangsang motivasi intrinsik murid

Penilaian diagnostik dapat membantu merangsang motivasi intrinsik murid melalui aktiviti pemulihan yang menggalakkan penglibatan aktif seperti pernyataan masalah, penggunaan strategi bermain sambil belajar dan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan murid. Motivasi intrinsik juga dapat dibina melalui pengalaman yang diperoleh semasa belajar (Caine & Caine, 1994).

            Berdasarkan pengalaman semasa praktikum, hasil penilaian diagnostik membantu saya merangsang motivasi murid untuk belajar melalui pelaksanaan aktiviti pemulihan. Ternyata murid pemulihan melibatkan diri secara aktif semasa aktiviti menggunakan bahan konkrit yang berkait rapat dengan persekitaran mereka. Tambahan lagi, murid dapat menjawab dengan tepat apabila ditanya. Merujuk kepada Silberman (1996), strategi pernyataan masalah dan menggunakan bahan konkrit adalah antara aktiviti yang sesuai untuk menggalakkan pembelajaran aktif di samping merangsang motivasi intrinsik murid untuk belajar.

            Saya bersetuju dengan Nesamalar Chitravelu, Saratha Sithamparan, and Teh (2005) bahawa strategi pernyataan masalah dengan teknik yang betul membantu guru mengenalpasti punca kesalahan murid. Imbas kembali pengalaman semasa melaksanakan aktiviti pemulihan, saya mengajukan murid beberapa soalan sebelum memberi mereka bahan konkrit untuk membantu meningkatkan pemahaman mereka. Amat mengejutkan saya apabila murid tersebut ternyata keliru dengan operasi sebenar yang perlu dilakukan. Murid tersebut keliru mengenai perkataan ‘kali’ dan ‘darab’. Baginya, ‘kali’ bermaksud ‘darab’ manakala ‘darab’ bermaksud ‘bahagi’ sedangkan kedua-dua perkataan membawa maksud yang sama. Setelah membuat penelitian, saya mengenalpasti salah satu punca murid tersebut lemah matematik disebabkan oleh tidak faham kehendak soalan. Untuk mengatasi masalah tersebut, saya menerangkan semula makna perkataan tersebut dan mengulangnya beberapa kali sehingga murid tersebut benar-benar faham maknanya. Ternyata, setelah faham maknanya, murid tersebut berasa seronok untuk belajar pendaraban.

Selain itu, menurut Noriati A. Rashid et al., (2009) penilaian dignostik membantu guru memahami keperluan murid dengan lebih mendalam untuk membolehkan guru memberi rangsangan motivasi kepadanya. Berdasarkan pengalaman saya semasa praktikum, seorang murid saya kelihatan tidak bersemangat untuk belajar. Selepas melaksanakan ujian diagnostik, saya mendapati dia lemah dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi asas terutamanya pendaraban. Dalam bilik darjah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran, dia adalah individu yang pendiam dan sukar memberi respon apabila ditanya berbanding kawan-kawannya yang lain. Jadi saya mendekatinya secara tidak langsung semasa proses pengajaran dan pembelajaran, dan menggalakkannya bertanya jika dia mahu berjaya. Hasilnya, dia sering mengangkat tangan untuk bertanya apa sahaja persoalan yang muncul di fikirannya. Sekarang saya lihat dia semakin berminat untuk belajar.

Daripada sudut pandangan negatif, motivasi intrinsik tidak dapat dibina sekiranya pengajaran guru tidak berkualiti kerana tiada unsur-unsur kemanusiaan (Noran Fauziah Yaakob & Ahmad Mahzan Ayob, 1990). Ini saya alami sewaktu sekolah rendah, ketika itu, saya langsung tidak meminati Matematik kerana guru Matematik saya terlalu serius semasa mengajar di samping tiada hubungan mesra dengan murid.

Hakikatnya penilaian dignostik mampu merangsang motivasi intrinsik murid melalui aktiviti pemulihan yang berkesan. Namun begitu, masalah akan timbul sekiranya pengajaran guru tidak berkualiti dengan tiada unsur-unsur kemanusiaan. Oleh itu, untuk memastikan penilaian diagnostik mampu merangsang motivasi intrinsik murid guru harus meningkatkan kualiti pengajaran di samping bijak dalam melaksanakan aktiviti pemulihan kerana sekiranya guru gagal melaksana, murid juga akan gagal dalam pembelajarannya (Slavin, 1981).

Kesimpulan

Keseluruhannya, penilaian dignostik mampu membantu pembelajaran murid melalui kebijaksanaan guru mengenalpasti kelemahan, halangan dan punca kelemahan murid dalam Matematik di samping membantu murid menjalani program pemulihan berkesan dan merangsang motivasi intrinsik murid. Akan tetapi, guru haruslah bijak mengatasi segala halangan yang ada dengan meningkatkan ilmu pengetahuan untuk memilih strategi dan teknik pengajaran sesuai serta sentiasa peka dengan keperluan, pengetahuan sedia ada dan persekitaran murid (Johnson, Johnson & Holubec 1988). Sebagai bakal guru, saya sedar bahawa penilaian diagnostik penting untuk membantu murid lemah menguasai Matematik. Oleh itu, saya harus berusaha untuk memantapkan ilmu yang ada dan cakna mengenai murid supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.

(1 599 Patah Perkataan)



Rujukan

Bloom, B. (1956). Taxonomy of educational objectives. New York: David McKay.

Caine, R.N. & Caine, G. (1994). Making connections: teaching the human brain. Don Mills, ON: Addison.

Cockburn, A. D. (1999). Teaching mathematics with insight: the identification, diagnosis dan demediation of young children’s mathematical errors. London: Falmer Press.

Gardner, H. (1983). Frames of mind: the theory of multiple intelligences. New York: Basic Books

Halim, A., Subahan Meerah & Lilia Halim. (2009). Pembinaan dan penggunaan ujian dignostik ke arah mengenal pasti salah konsep pelajar dalam kursus fizik kuantum. Diakses pada Ogos 8, 2011, daripada http://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-38-4-2009/15%20Abdul%20Halim.pdf

Johnson, D.W., Johnson, R.T. & Holubec, E. (1988). Cooperative in classroom. Edina, MN: Interaction.


Meor Ibrahim Kamaruddin & Afidah Ngadalan. (2010). Diagnosis kesalahan lazim dalam tajuk bentuk piawai di kalangan pelajar tingkatan empat sekolah menengah johor bharu. Diakses pada Ogos 18, 2011, daripada http://eprints.utm.my/11644/1/Diagnosis_Kesalahan_Lazim_Dalam_Tajuk_Bentuk_Piawai_Di_Kalangan_Pelajar_Tingkatan_Empat_Sekolah_Menengah_Johor_Bahru.pdf

Mohd Shukri Saad. (2008). Program pemulihan khas: ujian diagnostik. Diakses pada September 3, 2011, daripada http://pemulihankhas.blogspot.com/2008/01/ujian-diagnostik.html

Mokhtar Ismail. (2009). 2nd edition. Pentaksiran pendidikan. Selangor: Dawama Sdn. Bhd..

Morris, D. (2009, June 3). Dreambox Learning. Retrived from http://www.dreambox.com/blog/learning-math-through-play-from-guest-blogger-dawn-morris

Nesamalar Chitravelu, Saratha Sithamparan & Teh, Soo Choon. (2005). ELT Methodology principles and practise. (2nd ed.). Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd..

Noran Fauziah Yaakob & Ahmad Mahzan Ayob. (1990). Guru dan perguruan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriati A.Rashid, Boon, Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor, Malaysia: Laser Press Sdn. Bhd.

Peterson, S. (2011). Effective communication tips for the classroom. Diakses pada Mac 14 daripada http://www.ehow.com/way_5171235_effective-communication-tips-classroom.html

Ronis, D. (1999). Brain compatible mathematics. United States of America: Skylight Training and Publishing Inc.

Seah, T. K. R. (2004). An investigation of the depth and breadth of students' knowledge of multiplication as a basis for the development of multiplicative thinking. Unpublished M Ed. thesis, Griffith niversity.

Silberman, M. (1996). Active learning: 101 strategies to teach any subject. United State: Allyn & Bacon.

 Slavin, R. (1981). Synthesis of research on cooperative learning. Diakses pada September, 14 daripada http://www.ascd.org/ASCD/pdf/journals/ed_lead/el_199102_slavin.pdf

Stiggins, R.J. (1994). Student-centered classroom assessment. New York: Macmillan.

Tighe, M.J. (1997). Performance-based instruction: teaching and assessing for understanding. Orlando: Association for supervision and curriculum development.

1 comment: